Bulan Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan haram adalah
bulan yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan,
perdamaian dan kemaafan.
Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan
permusuhan dan peperangan di bulan haram maka kita sebagai umat Islam
hendaklah lebih menghormati bulan-bulan haram ini.
Eratkan
silaturrahim, yang bermusuh, damaikanlah, yang berdendam, berlapanglah
dan yang renggang, rapatkanlah, InsyaAllah hidup penuh berkat dan
harmoni.
Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan
Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian
besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan
Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di
bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan di bulan Zulkaedah.
Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:
Sesungguhnya
zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan
bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan
haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah,
Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara
Jamadil Akhir dan Sya'aban.
1. Peperangan Bani Quraizah
Peperangan ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab
telah ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah
SAW bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke perkampungan
Bani Quraizah.
Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang
telah terlibat bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam
semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan
pakaian perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan
Bani Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah.
2. Perjanjian Hudaibiyah
Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6
Hijrah. Antara sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW
mengumumkan kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk
berangkat pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu
dengan menunaikan ibadah umrah.
Hasil pengumuman tersebut
yang diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh
sekitar 1 400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu.
Nabi Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah
perjalanan dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau
dikorbankan (al-hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai
memberitahu kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar
sedemikian bukan untuk bermaksud untuk berperang tetapi ianya
semata-mata untuk menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi
menunaikan ibadah Umrah tersebut.
Dalam perjalanan ke Makkah,
Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari
memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada
perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam
perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan
mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan
gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.
3. Bai'atur Ridwan
Peristiwa ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah,
Rasulullah SAW telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah
mengapa rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk
mengerjakan umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama
beberapa waktu oleh orang-orang Quraisy.
Dalam pada itu
sampailah berita kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA
telah mati dibunuh oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW
dengan lantangnya menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam,
hingga kami berhasil menumpas kaum Quraisy".
Kemudian
Rasulullah SAW mengajak berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di
bawah sebatang pohon di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah
satu perjanjian yang berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para
sahabat yang ada ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang
orang-orang kafir Quraisy.
Para sahabat berbai'at kepada
Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang
sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat
baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan
tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan
ini untuk Usman bin Affan".
Setelah pembai'atan tersebut,
yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah datang
berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar
terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.
4. Berlakunya Haji Wida'
Pada tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW
meninggalkan Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan
Haji Wida' (Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum
muslimin.
Haji tersebut adalah haji pertama Rasulullah SAW
dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW hanya mengerjakan sekali
sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah sepanjang umurnya
mengikut catatan sejarah.
5. Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah
Nama lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin
Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani
Al-Hambali. Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah
bersamaan 22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang
amat berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam.
Apabila umat Islam sudah mula menyimpang dan mencampur adukkan
unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam ajaran Islam pada zamannya maka
beliau tampil berusaha mengembalikan mereka ke landasan Islam yang
sebenarnya. Beliau juga meninggalkan ratusan buah kitab karangannya yang
menjadi rujukan sehingga sekarang. Karangan terbesarnya ialah Fatawa
Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari
ini. Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28
September 1328 Masihi), dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara
lebih dari 20 hari.
Beliau menghembuskan nafas yang terakhir
di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun
beliau juga seorang yang banyak dibenci orang kerana pendirian
tegasnya, tetapi jenazah beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang
lelaki dan 15,000 orang wanita.
Sumber dari http://www.al-azim.com
p/s: coming soon. this Zulkaedah =)
2 comments :
cantik background...
Hb 24/6
Post a Comment